Sunday, March 20, 2005

Bob

"Assalamu'alaikum Aben...kau kenal tak ni saper? hahahahaha"

"Wa'alaikumussalam...ni kalau suka gelak-gelak takde orang lain mesti kau Bob"

"Heheh...apa kabar kau sekarang?...."

Bob. Bukan Bob the builder cerita kartun tanah liat itu. Ini Bob nama samaran kawan aku. Antara orang terawal aku kenal ketika menjejakkan kaki di alam kampus sebab dulu kami serumah. Orangnya suka dengar lagu Linkin Park. 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Tidak ada lagu lain yang dipasang melainkan itu. Kuat-kuat pula tu. Najis telinga aku pun dah keras dek mendengar frekuensi yang sama saban hari tiap ketika dan saat (ayat penambah perisa). Orangnya happy go lucky atau dalam bahasa Melayu - gembira pergi bertuah. Sentiasa dengan gelak ketawa. Dengan Bob ini dululah aku menumpang semangat berada di perantauan. Bersama seorang lagi kawan aku, Naz. Berjauhan daripada keluarga, kawan-kawan sahajalah yang ada.

Walaupun kami tidak lagi serumah, tapi Bob masih lagi keep in touch atau dalam bahasa Melayu - berada dalam sentuhan. Masih tidak lupa untuk menelefon kawan-kawan. Waktu cuti semester, hari raya... Aku saja yang selalu lupa dan leka. Kesian Bob kerana mendapat kawan yang lalai menunaikan haknya sebagai seorang kawan. Nafkah persahabatan. Aku dah insaf sekarang.

Suatu malam, pernah aku terjaga daripada tidur. Lebih kurang pukul 4-5 pagi. Aku mendengar esak tangis. Aku bangun dan lihat Bob sedang berada di atas tikar sembahyang dan menangis. Terkedu aku. Terasa sebelum ini banyak aku habiskan air mata untuk benda yang tidak sepatutnya. Banyak petunjuk yang Allah datangkan melalui kawan-kawan yang boleh aku pelajari. Katanya, berkawan dengan orang yang menjual kasturi, nescaya sedikit sebanyak terpalit juga kewangian itu.

Lebih kurang 2 minggu lepas, lenaku pada suatu pagi diganggu oleh deringan telefon bimbit. Aku lihat skrin. Tertera nama Bob.

"Aben...ayah aku dah takde"

Itulah antara rangkap kata yang menyentak pagi aku. Dibelenggu sikap yang masih tidak berubah, aku hilang daripada khabar Bob. Aku ambil keputusan. Bersama kawan, Bobo dan Aidiff kami ke Muar petang tadi. Rumah Bob. Bertanyakan khabar dan ziarah untuk 2 minggu sebelum ini yang aku kehilangan.

Kami segan kerana dijamu dengan makanan yang tidak sepatutnya. Sepatutnya dalam saat-saat begini, tidak perlulah menyusahkan tuan rumah utk menyediakan makanan yang sedap-sedap. Cukuplah air teh bujang. Kami mengerti. Tapi sifat melayan tetamu yang ada pada Bob dan keluarga membuahkan rasa segan di hati.

Heh! Aku masih dapat membayangkan saat-saat dulu sewaktu ayah Bob, Pakcik Rashid berurusan dengan wakil tuan rumah kami di hari pertama pendaftaran. Aku masih dapat membayangkan wajahnya. Bob sekarang dah jadi ketua keluarga. Sebagai anak sulung lelaki. Dialah. Siapa lagi nak diharapkan. Dia adalah orang yg terpilih untuk menerima ujian ini. Al-fatihah utk ayah Bob- pakcik Rashid.

1 comment:

kak Jah said...

alfatihah...

semoga kawan awak tuh tabah....