Wednesday, October 26, 2005

Warkah Ramadhan untuk saya.

Sebulan lebih saya tidak mengemaskini blog ini. Esok 27 hb Oktober 2005 genaplah blog ini berusia 1 tahun. Kalau budak yang berumur 1 tahun dah boleh berjalan, blog saya masih baru belajar meniarap, itu pun tak tertiarap-tiarap lagi. Selamat Ulangtahun yang pertama kepada blog Aben! Sempena dengan itu – sila berikan tunjuk ajar. Saya masih mentah, tidak masak dengan dunia blog ini. Kalau ada yang sudi mengajar saya juga sudi belajar. Terlupa, jika ada apa-apa kesalahan sepanjang setahun blog ini menghuni ruang maya saya memohon kemaafan yang tidak terhingga.

Sekarang dah masuk 10 hari terakhir Ramadhan. InsyaAllah ada satu malam yang nilainya lebih baik daripada 1000 bulan bersamaan 83 tahun 4 bulan. Lailatulqadar. Bolehlah kita ‘iktikaf kat masjid. Ambil suasana. Kalau malas-malas nak beribadat pun bila dah tengok orang lain solat, baca Quran, zikir maka secara tidak langsung memberikan kita motivasi untuk melakukan benda yang sama.

Kita ini hanyalah hamba Allah. Status hamba ini sememangnya untuk memperhambakan diri kepada tuannya, tidak ada gaji,upah mahupun ganjaran. Namun dalam pada itu, Allah masih beri pelbagai jenis nikmat kepada hambaNya malah Allah janjikan balasan syurga kepada mereka yang beriman. Alhamdulillah, Allah letakkan kita dalam bulan yang mulia ini untuk kita rebut peluang yang ada. Amalan sunat digandakan seperti amalan fardhu. Amalan fardhu digandakan sebanyak 70 kali. Jomlah kita pakat-pakat rebut, jangan berlagak dengan Allah (saya menulis untuk saya). Demi dunia yang sementara, kehidupan 60 70 tahun ini kita bergolok bergadai. Apatah lagi demi kehidupan yang kekal abadi di sana nanti.

Ada dikalangan orang di sekeliling kita pada Ramadhan tahun lepas tidak dapat bersama-sama lagi pada tahun ini kerana telah dijemput Allah. Kita pun tak pasti bila pula masa kita, mungkinkah ini Ramadhan terakhir?