Wednesday, December 26, 2007

Cinta seperti pokok bonsai

Encik Miyagi kata, pokok bonsai yang sebenar hidup liar. Tanpa perlu potong-potong rantingnya. Tanpa perlu lilit-lilit dahannya. Tanpa pasu. Tanpa ada penjagaan manusia. Baja pun tak perlu.

Encik Miyagi tunjukkan pokok bonsai yang dibawa dari Okinawa. Pokok itu Encik Miyagi letakkan di tepi curam jauh dari penglibatan manusia. Dibiarkan hidup sendiri. Akar pokok itu kuat, mampu terus hidup walaupun pernah terkena air laut yang masin.

Mungkin cinta sebenar juga begitu. Tanpa perlu dijaga dan dibaja. Hanya ada. Hidup sendiri. Berdikari. Namun tetap cantik. Tetap subur.

Seperti bonsai liar. Cantik. Kuat...dan terpencil. Begitulah.

p/s Encik Miyagi itu guru karate

Friday, November 02, 2007

1957 - Hati Malaya

Semalam saya dan bekas tuan presiden menonton cerita 1957 Hati Malaya. Saya tak pasti mungkin sejak akhir-akhir ni jiwa saya sangat sensitif atau cerita itu terlalu bagus, yang pastinya saya rasa sesuatu. Dalam dada.

Al-Watoniyy atau nasionalisma, yang keterlaluan, seperti kata kawan saya, kalau semua KERANAMU MALAYSIA tak kemana juga akhirnya. Hamba Allah ni, tak kira Melayu, India, Bugis mahupun Portugis sama sahaja. Cuma yang membezakan hanyalah ketaqwaan. Kata kawan saya. Kawan saya yg berada dalam persembunyian. Haha. Kawan saya kata lagi, bukan kita yang layak nak tentukan taraf ketaqwaan seseorang, Allah jugak yang boleh bagi markah.

Samada kamu suka atau tidak, itulah kenyataannya. Kenyataannya apabila di dalam kubur nanti, kita akan ditanya siapa saudara kita. Takkan nak jawab - Orang Melayu. Mau terbenam kena hentak dengan malaikat.

1957 - Hati Malaya sedikit sebanyak berjaya menyuntik semangat nasionalisma dalam diri saya. Namun apa yang saya dapat lebih daripada rasa al-watoniyy. Saya dapat belajar perjuangan hidup. Hidup untuk memberi. Hidup untuk fikirkan bukan hanya diri sendiri tetapi orang di sekeliling. Hidup untuk lakukan sesuatu yang lebih serius. Bukan sekadar suka-suka dan gelak huha huha sahaja. Ini membawa kepada persoalan. Untuk apakah kita dijadikan?

Tepuk dada tanya iman. Tanya suara hati.

"Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku...hanyalah untuk Allah Tuhan Sekelian Alam" kata kita dalam doa iftitah.

p/s - Saya ingin mengangkat kedua belah tangan saya dan memberi tabik hormat kepada Kamarulzaman Taib yang memegang watak Tunku Abdul Rahman. Dia sangat bagus.

Monday, October 01, 2007

Jiwa yang tak tinggi dipuji...tak rendah dikeji

Pernahkah kamu melihat sebuah iklan hari raya. Kisahnya dua buah kereta bertemu di tengah jalan yang sempit. Sebuah kereta mewah gagah perkasa buatan Jerman. Sebuah lagi kereta kecil buatan Malaysia. Pemandu kereta gagah perkasa lagi mahal itu membunyikan hon. Raut wajahnya kemarahan. Tanda menyuruh kereta kecil dan murah itu ketepi. Apabila mereka berselisih, pemandu kereta kecil memberikan senyuman dan berkata "Selamat Hari Raya" sebelum berlalu pergi.

Walaupun keretanya kecil dan murah namun jiwanya besar dan berharga. Itulah yang saya fikir. Saya tertanya adakah jiwa saya cukup besar. Sebagai anak. Sebagai abang. Sebagai kawan. Adakah jiwa saya cukup besar sebagai hamba Yang Maha Besar. Saya mesti berusaha ke arah itu. Mesti!

Kamu pun, marilah. Kita besarkan jiwa yang tak meninggi dipuji dan tak rendah apabila dikeji.

Tuesday, September 18, 2007

Aduhai cikgu H part 2 (season finale)

“Bangunnnnn” Aben. Semua pelajar berdiri mengikut Aben sebagai acting class monitor.

“Seelamattt sejahhteraaa cikguuu!” Aben memberi ucap tama. Semua pelajar ikut lagi.

“Tak bukak buku lagiii!!!!” Cikgu H. Menghalilintarkan suara ke segenap penjuru kelas.

Rutin hariannya apabila masuk kelas, setiap pelajar harus ada buku teks di atas meja masing-masing, siap dibuka pada mukasurat yang betul. Walaupun sudah ada buku di atas meja tetapi jika tidak dibuka pada mukasurat yang sepatutnya, bersedialah untuk menerima segala kemungkinan. Macam tentera.

"Mana Ainol?" Aben berbisik kepada Azad, rakannya di depan.

"Demam"

"Semalam elok"

"Lepas balik sekolah dia letak bawang bawah ketiak"

"Ha?"

"Teknik nak demam secara sengaja"

"Sebab apa?"

"Takmau datang sekolah. Takut Cikgu H"

Banyak pelajar dapat 100 markah untuk matematik dalam ujian bulan itu. Termasuk Aben. Mungkin berkat kegarangan Cikgu H. Bulan berikutnya Guru H ditukarkan ke kelas bawah kerana ada ibu-bapa yang membuat laporan kepada pengetua Cikgu H garang sangat. Pelajar takut datang sekolah. Sejak Cikgu H ditukarkan dan diganti dengan guru lain, Aben tidak pernah dapat 100 lagi untuk matematik sewaktu darjah 4.

Sewaktu saya pulang ke SP baru-baru ini, sempat bersolat Zohor di Masjid Muzaffar Shah. Di dalam saf, di sebelah saya adalah Cikgu H. Walaupun sudah hampir 12 tahun kisah kegarangan Cikgu H dan keseraman kelasnya berlalu, namun bagi saya dan kawan-kawan – kisah itu tidak pernah padam. Terutama kawan saya Chon, dia boleh ceritakan bagaimana dia menyorok daripada cikgu H di dalam almari bilik darjah dan bagaimana rasanya luku cincin sebesar 20 sen itu.

Usai solat, saya pandang muka cikgu H. Saya tidak pasti dia masih ingat atau tidak muka budak yang diberi penampar dek tersilap garis setengah petak ini. Kalau dia masih ingat, saya mahu katakan, penampar paling sedap itu saya tidak simpan dalam hati. Sudah lama maafkan walaupun tidak melupakan. Siapa boleh lupa penampar cepat, tangkas dan padat itu. Haha. Saya juga mahu katakan – terima kasih cikgu. Namun, saya perlu beredar pulang dengan segera ke rumah kerana ummi sedang menunggu untuk ke Pulau Pinang pula. Saya bersalaman dengan cikgu H, dan pandangannya mengingatkan kegerunan saya 12 tahun dulu.

-Terima kasih cikgu!

Thursday, September 13, 2007

Baru sikit

Gluk...glukk...glukk. Legaa. Air kosong sejuk di dalam peti ais itu hampir habis. Dituang lagi dalam cawan. Diteguk lagi. Air dalam botol tinggal setengah. Mulut basah berair dilap dengan kain pengering. Tudung saji dibuka, lalu mengeluarkan aroma spaghetti yang harum semerbak menawan kalbu bersama rempah oregano yang ditabur di atasnya. Dia ambil bau. Hmmm...sedapnyaa. Pantas mangkuk dicapai, urat-urat pasta panjang dikaut dengan senduk lalu dimasukkan dalam mangkuk. Kemudian sos merah berinti daging cincang berbau harum semerbak itu diletakkan atas pasta dalam mangkuk. Dia capai botol kecil serbuk keju. Serbuk keju halus ditabur akhir sekali, menimbulkan ghairah lapar yang tidak terhingga. Cawan besar dituangkan air karbonat. Sejuk. Buih-buih gas karbonat naik di celah-celah ais. Dia bawa mangkuk berisi spaghetti dan cawan besar air berkarbonat itu ke depan tv. Ada filem terbaru di HBO. Burpp...kenyang. Filem tamat. Dia terbongkang di depan tv, lena dibuai angin sejuk pendingin hawa.

Artikel ini sesuai dibaca di bulan Ramadhan, waktu tengahari rembang dan anda akan menghadapi final xm. Semoga anda tabah. Opps... ;)

p/s Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua terutama sekali pelajar MMU yang bakal menghadapi final xm tidak lama lagi.

Thursday, August 30, 2007

Pemuda luar kota Sana'a

Pusing ke kanan. Pusing ke kiri. Ahh, apa yang tidak kena ni. Jam sudah pun pukul 2.40 pagi. Tutt. Pendek dan ringkas bunyi telefon bimbit saya di sebelah. Itu tandanya ada SMS baru masuk. Bingkas saya capai telefon bimbit.

"You maybe out of my reach but not out of my mind. you maybe out of my sight but not out of my heart. I may not tell you that i miss you but deep inside I always will do"

Hati saya bergetus antara sangsi dan teruja. Siapa pula gerangan sang primadona yang tidak dapat tidur dek teringatkan si Aben ni. No telefon tiada dalam direktori telefon saya. Salahkan abang kedai yang membaiki telefon saya dulu, habis semua terpadam.

"Siapakah ini?"
"I'm Ammar"

Sahabat saya dari Yaman. Saya terfikir, terlintas dan berkesimpulan. Ini bukan kali pertama saya menerima mesej seperti ini daripada rakan-rakan Asia Barat itu. Kalau saya hantar mesej serupa ini kepada kawan-kawan tempatan pasti ada yang ingat apa-apa tidak kena dengan saya. Buang tabiat agaknya si Aben ni.

Saya senyum. Terkenangkan yang kami pernah berjanji untuk berjuang sebelah menyebelah andai ada panggilan jihad nanti. Saya hanya mampu tersenyum apabila teringatkan betapa bersungguh-sungguhnya Ammar menyuruh saya tidur di atas katilnya dan dia tidur di atas lantai setelah kami penat mengulangkaji pelajaran di biliknya. Jubah dari Yaman pemberian Ammar itu saya gunakan sebaik mungkin. Semoga Allah memberkatinya dan semoga kami tergolong dalam golongan pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah.

p/s Ikram Al-Muslimin saya masih belum mantap. Kena belajar banyak lagi dengan pelajar-pelajar Arab ni. Naik segan saya asyik menerima layanan baik daripada pelajar luar di tempat sendiri.

Friday, March 02, 2007

Closing ceremony

"...Who gets to determine when the old ends and the new begins?
It’s not a day on a calendar. Not a birthday, not a new year. It’s an event, big or small, something that changes us. Ideally it gives us hope. A new way of living and looking at the world. Letting go of old habits, old memories. What’s important is that we never stop believing that we can have a new beginning. But it’s also important to remember that amid all the crap are a few things really worth holding on to."


-Dr. Meredith Grey. Grey’s Anatomy. Season 2. Episode 13 (Thanks to Zuhdi)

Saya tentukan pilihan hari ini. Blog ini sudah sampai ke titik noktah. Apa yang tersilap, terkasar, terlebih, terkurang, saya pohon ampun dan maaf. Kepada mereka yang selalu memberi komen, saya ucapkan terima kasih. Kepada mereka yang selalu baca tetapi tak pernah beri komen juga saya ucapkan terima kasih. Sebenarnya saya tidak berapa betah utk menulis entri penutup ini, nak tulis yang sedih-sedih...tak sedih pun. Nak tulis yang seronok-seronok...apa yang seronoknya...aaarghh, oklah...saya nak tutup ni. Kalau ada nak hantar kutukan, ucapan penghargaan ataupun nak masuk meminang, sila email kepada blog.aben@gmail.com Lepas ni anda tak perlu lagi menjenguk ke sini kerana ini....tuuttt....tuttt....nininininininini ( talian terputus)....klik

p/s: Muzik penutup blog Aben. Somewhere over the rainbow performed by Chris White (Isto)




Assalamu'alaikum ^_^

Monday, February 05, 2007

Hi I'm a Mac

DevSIG/CocoaHeads event was held last Friday at Apple Malaysia. I attended the session with various expectations and objectives, some of it was to get to know local Mac developer scene and to get a kick-start of my Mac development venture. I am the new kid on the block. A noob. Albeit my envious towards Mac for years, practically I have no background experience in it. Been heard the beauty of it, Been seen the jaw-dropping GUI and effects that it has and I have been told that it has rock solid foundation of Unix and a personality of Mac. Hands on experience? Nada.

Last month was a milestone in my computing history. I got myself a Mac. Proudly named it - Neera, based on the character in Walt Disney's animation film, Dinosaurs. Ok back to the DevSIG/CocoaHeads get together or I prefer to call it a meetup (sounds geekier I suppose). There was about 8 people turn up that day which was particularly held at Apple Malaysia's training room. I barely know a single person, except maybe one of the speaker, Chris, whom as far as I'm concerned is the one who initiates the DevSIG/CocoaHeads Malaysia.

The first two sessions was given by Jinny, where she talks about the application that she builds using Core Data. It is a Dive Log, intended for divers. I didn't really understand about the chart and stuff. How much gases left and all. But I know it's the easier way for divers to key in and calculate their log after diving. Then she presents Dashcode. It's a development tool to create a widget and because it is so easy, she calls it a no brainer :D . Despite of the WYSIWYG, drags and drops, developer also can dive in the codes.

Then Chris gave a talk on how to detect memory leaks in application. Demonstrating with his own developed application, he showed various tools that can be use for that purpose. After the presentation, I have quite an understanding on how important memory management is in software development. He also shares his experience conducting courses in Boston and Shanghai as well as few tips on learning Cocoa. Later did I learned that he is one of MIT alumni. Tabik sikit.

After that, we went for 'yum-char' at mamak restaurant nearby before Chris gave Val, Edward and me a ride to Midvalley. Jinny and Andrew went with separate car. Where could that place be if not MPH, before unintendedly we started informal discussion behind those racks of computer section. They talk about multithreading, objective-c and few more stuff. I started to think "I am so left behind". I noticed some people glimpse at us...haha, wondering what were they thinking. " Wow, that's cool" or "Gila poyo mamat-mamat ni". Suka hatilah nak fikir apa pun kan.

Later, Kevin and Jeya turn up, decided for a place to help the empty stomach and we were off. Chats. Jokes. Discussions. Mac. It's 12.20 am. Ohh no... thinking of how am I going to Rasyd's house. Luckily Chris offers to send me there. Fuhh, what a day.

"Hi I'm a Mac"
"Hi, I'm your owner"
"Nice to meet you" Neera. With the sweetest smile Aben had ever seen.
"Nice to meet you too...at last" Aben. Smiling.

Monday, January 22, 2007

Ucap tama 1428H

Selamat tahun baru 1428 Hijrah!

Saya. Di dalam kereta, di tepi laut Persiaran Gurney. Bersama mac. David Gates menyanyikan lagu Goodbye Girl. Mac saya bersambung ke internet. Saya 'wardriving'. Coffee Bean and Tea Leaf di seberang jalan, kalau ada yang tertanya. Sambil melawat blog dan laman akhbar, saya download seberapa byk mungkin apa yang boleh sementara talian berkelajuan tinggi ini. Di rumah, dial-up yang lembap tetapi berjasa. Pagi yang dah tak berapa nak pagi lagi ni, saya terfikir dengan kata-kata Arena Wati yang Dyqq letak di blognya.

"Sesuatu ada ketikanya, sesuatu ada hadnya...seseorang, pada suatu ketika, dalam sesuatu keadaan, harus menentukan pilihan"

Hmm...

Sebenarnya saya berjanji dengan Zuhdi mahu datang bersama-sama untuk meetup SIG kami. Hari ini keadaan tidak mengizinkan. Saya terpaksa pulang awal dan jadual saya terikat dengan ummi. Saya tidak suka tergesa-gesa. Harap lain kali. Harap sangat. Suasana di tepi laut ini sangat hebat untuk meetup. Owhh...dan,ya, speedometer tmnet menunjukkan kelajuan 200++ kbps.

Wednesday, January 17, 2007

Lawatan sambil belajar ke sekolah

"Hang kena jadi imam kat budak-budak ni, lepas tu bagi tazkirah sikit" Taufik cadangkan sejurus sebelum solat.

"Depa dah ada jadual utk imam dan muazzin setiap hari." Aku membalas.Kami memerhati keadaan musolla yang sudah berubah. Lantai sudah berjubin, dulunya permaidani biasa. Dua tiga orang pelajar membentangkan sejadah.

"Haa...bagi abang ni jadi imam." Seorang pelajar bersuara ketika kami membetulkan saf dan masih ketiadaan orang untuk membawa solat jemaah.

"Takpalah. Tu dah ada." Aku di saf kedua. Senyum. Sambil tunjuk seorang pelajar yang sudah tampil untuk memimpin solat Asar petang itu.

"Ish, sibuklah Mustaqim ni!" Marah budak tadi kepada kawannya yang kehadapan sebagai imam.

Petang itu, Aku dan Taufik menunaikan solat Asar di musolla sekolah. Sekolah kami dulu. Sekolah yang sangat beerti kepada kami. Aku rasa ukhuwwah yang terjalin dalam saf semalam sedikit berlainan. Lebih erat. Mungkin perasaan aku sebagai bekas pelajar di situ. Tetapi, dengan budak-budak itu, aku masih rasakan - 'sekolah kita'. Ini sekolah kita.

Di luar musolla, ketika mahu mengambil wudhu' mahupun ketika memakai kasut, kami menerima sapaan yang baik.

"Assamu'alaikum bang..."

"Bang...assamu'alaikum"

Ya ya. Wa'alaikumussalammm..... Aku pesan kepada mereka di dalam hati. Belajarlah rajin-rajin. Nikmatilah setiap saat dan ketika sebagai pelajar sekolah sebelum sampai masa kamu untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Gunakanlah kesempatan yang ada ini sebaik mungkin. Sesungguh hati. Berhempas pulas. Gunakanlah. Pesan aku dalam hati. Aku tak pasti mereka dengar ataupun tidak.

Aku dan Taufik menghabiskan petang itu di sekolah.Kami tidak berkesempatan untuk berjumpa cikgu kerana sessi persekolahan ditukar ke sebelah pagi keseluruhannya.Kami berjalan-jalan sekitar kawasan sekolah, melihat tempat-tempat yang menjadi nostalgia. Bercerita kisah dulu. Ketawa mengenangkannya. Senyum dan ada ketika berdiam diri, mungkin kerana terlalu nostalgik sehingga tidak terucap. Singgah minum di cafeteria sekolah yang telah diperbesar. Makcik kantin pun bukan yang kami pernah kenal. Kami melawat kelas yang pernah kami diami. Tempat menadah telinga. Tempat bergurau mesra. Tempat orientasi silaturrahim. Mengenalpasti mana yang berubah dan apa yang tidak terusik. Meninjau bengkel teknologi kejuruteraan, tempat di mana aku pernah mengurung cikgu secara tidak sengaja.Ceritanya, aku tertinggal barang. Aku masuk bengkel yang tidak tertutup, selepas memeriksa tiada siapa yang tertinggal aku menutup dan mengunci bengkel. Kononnya warga sekolah yang bertanggungjawab. Esoknya cikgu tanya siapa yang mengunci bengkel sehingga menyebabkan dia terkunci di dalam? Kawan-kawan kelas ketawa mengenangkan cikgu terpaksa melambai-lambai melalui tingkap untuk meminta bantuan kepada pelajar lain. Aku sedikit pelik. Di mana cikgu bersembunyi?

Tujuan sebenar ke sekolah petang itu untuk mengambil sijil GCE. Tak sangka sekolah masih simpan sijil kami yang hampir berusia 6 tahun itu. Apabila kembali, melihat tempat kamu bermula, tempat mengenal cita dan cinta, tempat mencoret suka dan duka, kamu nampak diri sendiri. Rasa tenang, aman, sedih, kecewa... kamu nampak sejarah pernah dilakar di sini. Kamu nampak apa yang kamu rasa sekarang, ada yang pernah tersemai di sini. Ada yang tertanam terus. Ada yang masih tumbuh subur. Akhirnya, aku sendiri tidak tahu apa yang aku rasa. Sejarah tercipta sebagai pedoman. Sejarah tercipta untuk dikenang. Sejarah tercipta untuk disanjung. Sejarah tercipta...untuk kita.

Monday, January 15, 2007

Ucap tama 2007

Kedinginan bayu malam menyapa. Angin menerjah lembut, menguliti rambut dan muka. Sesekali mata berkelip. Di mulut feri yang terbuka aku lihat Pulau Pinang yang bercahaya di hadapan. Di bawah, air laut pecah berombak, berdebur diharung muncung feri.

"Tumm...tumm!!" Bunyi mercun. Satu warna yang tadi satu kini berpecah di dada langit. Warna-warni yang mencorakkan kanvas malam yang hitam dan kelam. Sangat Indah.

"Ponnn....Ponnn...Ponnn!" 3 kali feri di pelabuhan Pulau Pinang membunyikan serombongnya. Tanda tahun 2007 sudah bermula dan 2006 yang penuh dengan kenangan sudah ditinggalkan sebentar tadi.

"Selamat tahun baru Aben!" Bisik aku dalam hati. Kepada diri sendiri.

Dalam Avanza, ada Aki, Irwan, Taufik, Fikri dan Na'aim. Menunggu sementara feri rapat di tambatan. Aku berpatah balik menuju Avanza. Secara tidak sengaja kami berpagi tahun baru di Pulau Pinang. Jalan sesak di Pulau Pinang. Menghabiskan masa di dalam Avanza selama 2 jam lebih kurang sementara melayan arus kenderaan yang bergerak seperti siput babi itu. Taubat nasuha tidak mahu datang lagi waktu-waktu begini. Orang waras mana yang sanggup.

Di Tanjung Bungah, mengendurkan urat saraf yang mula menegang. Kami singgah makan di restoran nasi kandar sambil membetulkan jiwa yang tidak betul kerana bertapa dalam avanza yang bergerak ciput-ciput. Mengumpul semula hormon-hormon kelakar yang habis digunapakai semasa kesesakan tadi. Apa yang kami buat di Pulau Pinang? Memerangkap diri sendiri di dalam kesesakan lalu lintas secara tidak sengaja

Huh, bertolak ke Pulau Pinang pada tahun 2006. Selamat pulang ke Sungai Petani pada tahun 2007. What a day!