Tuesday, September 18, 2007

Aduhai cikgu H part 2 (season finale)

“Bangunnnnn” Aben. Semua pelajar berdiri mengikut Aben sebagai acting class monitor.

“Seelamattt sejahhteraaa cikguuu!” Aben memberi ucap tama. Semua pelajar ikut lagi.

“Tak bukak buku lagiii!!!!” Cikgu H. Menghalilintarkan suara ke segenap penjuru kelas.

Rutin hariannya apabila masuk kelas, setiap pelajar harus ada buku teks di atas meja masing-masing, siap dibuka pada mukasurat yang betul. Walaupun sudah ada buku di atas meja tetapi jika tidak dibuka pada mukasurat yang sepatutnya, bersedialah untuk menerima segala kemungkinan. Macam tentera.

"Mana Ainol?" Aben berbisik kepada Azad, rakannya di depan.

"Demam"

"Semalam elok"

"Lepas balik sekolah dia letak bawang bawah ketiak"

"Ha?"

"Teknik nak demam secara sengaja"

"Sebab apa?"

"Takmau datang sekolah. Takut Cikgu H"

Banyak pelajar dapat 100 markah untuk matematik dalam ujian bulan itu. Termasuk Aben. Mungkin berkat kegarangan Cikgu H. Bulan berikutnya Guru H ditukarkan ke kelas bawah kerana ada ibu-bapa yang membuat laporan kepada pengetua Cikgu H garang sangat. Pelajar takut datang sekolah. Sejak Cikgu H ditukarkan dan diganti dengan guru lain, Aben tidak pernah dapat 100 lagi untuk matematik sewaktu darjah 4.

Sewaktu saya pulang ke SP baru-baru ini, sempat bersolat Zohor di Masjid Muzaffar Shah. Di dalam saf, di sebelah saya adalah Cikgu H. Walaupun sudah hampir 12 tahun kisah kegarangan Cikgu H dan keseraman kelasnya berlalu, namun bagi saya dan kawan-kawan – kisah itu tidak pernah padam. Terutama kawan saya Chon, dia boleh ceritakan bagaimana dia menyorok daripada cikgu H di dalam almari bilik darjah dan bagaimana rasanya luku cincin sebesar 20 sen itu.

Usai solat, saya pandang muka cikgu H. Saya tidak pasti dia masih ingat atau tidak muka budak yang diberi penampar dek tersilap garis setengah petak ini. Kalau dia masih ingat, saya mahu katakan, penampar paling sedap itu saya tidak simpan dalam hati. Sudah lama maafkan walaupun tidak melupakan. Siapa boleh lupa penampar cepat, tangkas dan padat itu. Haha. Saya juga mahu katakan – terima kasih cikgu. Namun, saya perlu beredar pulang dengan segera ke rumah kerana ummi sedang menunggu untuk ke Pulau Pinang pula. Saya bersalaman dengan cikgu H, dan pandangannya mengingatkan kegerunan saya 12 tahun dulu.

-Terima kasih cikgu!

3 comments:

AuRuM said...

-Terima kasih cikgu!

bangganya cikgu tu bile dgr ucapan mcm tu.... huhuuh~

Stridz said...

yer ker...hurmm :)

hafist said...

awat ang x introduce diri ang...hehe...