Wednesday, January 17, 2007

Lawatan sambil belajar ke sekolah

"Hang kena jadi imam kat budak-budak ni, lepas tu bagi tazkirah sikit" Taufik cadangkan sejurus sebelum solat.

"Depa dah ada jadual utk imam dan muazzin setiap hari." Aku membalas.Kami memerhati keadaan musolla yang sudah berubah. Lantai sudah berjubin, dulunya permaidani biasa. Dua tiga orang pelajar membentangkan sejadah.

"Haa...bagi abang ni jadi imam." Seorang pelajar bersuara ketika kami membetulkan saf dan masih ketiadaan orang untuk membawa solat jemaah.

"Takpalah. Tu dah ada." Aku di saf kedua. Senyum. Sambil tunjuk seorang pelajar yang sudah tampil untuk memimpin solat Asar petang itu.

"Ish, sibuklah Mustaqim ni!" Marah budak tadi kepada kawannya yang kehadapan sebagai imam.

Petang itu, Aku dan Taufik menunaikan solat Asar di musolla sekolah. Sekolah kami dulu. Sekolah yang sangat beerti kepada kami. Aku rasa ukhuwwah yang terjalin dalam saf semalam sedikit berlainan. Lebih erat. Mungkin perasaan aku sebagai bekas pelajar di situ. Tetapi, dengan budak-budak itu, aku masih rasakan - 'sekolah kita'. Ini sekolah kita.

Di luar musolla, ketika mahu mengambil wudhu' mahupun ketika memakai kasut, kami menerima sapaan yang baik.

"Assamu'alaikum bang..."

"Bang...assamu'alaikum"

Ya ya. Wa'alaikumussalammm..... Aku pesan kepada mereka di dalam hati. Belajarlah rajin-rajin. Nikmatilah setiap saat dan ketika sebagai pelajar sekolah sebelum sampai masa kamu untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Gunakanlah kesempatan yang ada ini sebaik mungkin. Sesungguh hati. Berhempas pulas. Gunakanlah. Pesan aku dalam hati. Aku tak pasti mereka dengar ataupun tidak.

Aku dan Taufik menghabiskan petang itu di sekolah.Kami tidak berkesempatan untuk berjumpa cikgu kerana sessi persekolahan ditukar ke sebelah pagi keseluruhannya.Kami berjalan-jalan sekitar kawasan sekolah, melihat tempat-tempat yang menjadi nostalgia. Bercerita kisah dulu. Ketawa mengenangkannya. Senyum dan ada ketika berdiam diri, mungkin kerana terlalu nostalgik sehingga tidak terucap. Singgah minum di cafeteria sekolah yang telah diperbesar. Makcik kantin pun bukan yang kami pernah kenal. Kami melawat kelas yang pernah kami diami. Tempat menadah telinga. Tempat bergurau mesra. Tempat orientasi silaturrahim. Mengenalpasti mana yang berubah dan apa yang tidak terusik. Meninjau bengkel teknologi kejuruteraan, tempat di mana aku pernah mengurung cikgu secara tidak sengaja.Ceritanya, aku tertinggal barang. Aku masuk bengkel yang tidak tertutup, selepas memeriksa tiada siapa yang tertinggal aku menutup dan mengunci bengkel. Kononnya warga sekolah yang bertanggungjawab. Esoknya cikgu tanya siapa yang mengunci bengkel sehingga menyebabkan dia terkunci di dalam? Kawan-kawan kelas ketawa mengenangkan cikgu terpaksa melambai-lambai melalui tingkap untuk meminta bantuan kepada pelajar lain. Aku sedikit pelik. Di mana cikgu bersembunyi?

Tujuan sebenar ke sekolah petang itu untuk mengambil sijil GCE. Tak sangka sekolah masih simpan sijil kami yang hampir berusia 6 tahun itu. Apabila kembali, melihat tempat kamu bermula, tempat mengenal cita dan cinta, tempat mencoret suka dan duka, kamu nampak diri sendiri. Rasa tenang, aman, sedih, kecewa... kamu nampak sejarah pernah dilakar di sini. Kamu nampak apa yang kamu rasa sekarang, ada yang pernah tersemai di sini. Ada yang tertanam terus. Ada yang masih tumbuh subur. Akhirnya, aku sendiri tidak tahu apa yang aku rasa. Sejarah tercipta sebagai pedoman. Sejarah tercipta untuk dikenang. Sejarah tercipta untuk disanjung. Sejarah tercipta...untuk kita.

2 comments:

kak Jah said...

waaa... seronok nye ke skolah lama. huhu... mampukah saya kembali ke skolah lama.. kembali mengutip kenangan pahit manis, meraup pengalaman suka duka yg melimpah ruah.. oh.. mcm x sanggup jer!!

sejarah... pernah kan dengar; history repeats itself :D

Stridz said...

saya pun rasa mcm tu. nampak sejarah berulang dan Dia beri kesempatan kepada saya sekarang untuk membetulkan sejarah yang akan datang.