Tuesday, November 02, 2004

Wajah yang terbias itu aku?

“Cermin-cermin diri anda.”

Itu adalah ayat kegemaran Aziz Desa, yang juga dikenali sebagai Mat Cermin, seorang pengacara Malaysia Hari Ini suatu ketika dahulu, rasanya 10 tahun lepas. Sekarang saya tidak lagi menonton rancangan itu kerana di kampus, bilik saya tidak dilengkapi dengan set televisyen. Trend itu saya bawa apabila balik ke rumah di Kedah. Lebih-lebih lagi pada awal waktu siaran, televisyen didominasi oleh adik-adik saya yang gemar menonton rancangan kartun. Ahh, seribu satu alasan boleh saya berikan, namun hakikatnya jika hendak seribu daya, jika tidak mahu seribu alasan. Begitulah. Sebetulnya saya jarang menonton televisyen, jika ada mungkin apabila program yang menarik perhatian seperti projek membiakkan harimau di Afrika, mengubahsuai jentera- monster garage, unsolved history… rancangan-rancangan seperti itu. Saya tidak mahu bercerita tentang tabiat menonton televisyen saya, tetapi apa yang cuba saya sampaikan adalah ayat kegemaran Aziz Desa itu. Beginilah, bila jari di papan kekunci, bebelannya mengalahkan makcik-makcik pula.

Cermin-cermin diri anda. Hmm…apabila diri berada di hadapan cermin, cuba lihat manusia di dalamnya. Di dalam cermin itu. Perhatikan setiap lekukan di muka itu, setiap daerah yang terukir di wajah itu. Perhatikanlah. Renung sedalam-dalamnya. Pandang matanya, dan tanya - Manusia jenis apakah ini? Inikah manusia yang dahulunya lahir suci murni keluar daripada perut ibunya tetapi kini telah melakukan onar, dosa dan noda? Layakkah manusia ini bergelar hamba Allah apabila lakunya tidak seperti hamba tetapi manusia yang bersultan di mata beraja di hati ?

Muhasabahlah. Biasanya apabila keadaan berlanjutan seperti itu, saya akan kehilangan kata dan arah selama beberapa ketika. Fikiran menerawang entah ke mana. Pelbagai rasa menerjah masuk ke dalam hati, macam rojak.

Yakinlah bahawa kejayaan manusia itu, saya dan anda adalah hanya dalam agama. Apabila kita dapat melaksanakan perintah Allah mengikut cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

p/s – nampaknya ada orang tidak dapat menerima penggunaan ‘awet muda’ di dalam artikel di bawah. Baiklah, saya mengaku – saya tidak awet muda, mungkin muka saya kebudak-budakan. Itu sebetulnya.

1 comment:

Anonymous said...

wajah yang terbias itu...kita!!
-AuRuM-