Thursday, January 12, 2006

Sebuah harapan. Serangkap doa. Berjuta rahmat.

Tidak lena tidur Jo. Jo tidak lena tidur bukan sebab fikirkan Leha. Jo fikirkan Am, budak lelaki si penjual burger di tepi surau. Sebelum orang lain fikirkan yang bukan-bukan, perlu diperjelaskan bahawa Jo normal. Cukup sifat kelakian. Alhamdulillah.

Jo fikir. Jo bayangkan suatu hari nanti, jika keadaan berterusan begini, Am si penjual burger itu akan mempersalahkannya.

"Ni..ni Jo. Selalu solat di surau. Selalu lalu depan gerai burger saya. Selalu angkat tangan dan bagi salam. Bukan dia tak nampak saya, nampak! Tapi sekalipun dia tak pernah ajak join solat berjemaah. Sekali pun tidak pernah. Bukan saya tak dengar azan dari surau itu. Dengar. Tambah-tambah ajk surau baru tukar sistem pembesar suara. Bukan main meletup lagi azan tuh. Tapi...saya tunggu orang ajak jerr. Semua orang lalu depan gerai saya, sekalipun, siapa pun tak pernah ajak!"

Begitulah, Jo bayangkan mungkin Am akan menuntut haknya. Haknya sebagai seorang muslim. Dalam diam, Jo mengakui yang dia bersalah. Amat bersalah. Tapi dia buntu, tidak tahu cara untuk mengajak Am. Am jual burger, berkawan dengan mat-mat motor, pakai gelang tangan silver, pakai cap. Amatlah lainnya daripada Jo. Aiii...Jo buntu!

Esoknya.

Jo kusyuk mengangkat hadas kecil. Solat Asar. Apa yang dia sibuk-sibuk fikirkan semalam, pening-pening kepala pasal Am masih belum ada bentuk perlaksanaan dan penyelesaiannya. Dia fikirkan satu cara, dia mahu berjinak-jinak membeli burger di kedai Am, menjalinkan hubungan baik. Dia mahu tanya nama Am yang sebetulnya kerana dia berazam, apabila dia bangun tahajjud nanti, dia nak doakan Am sekali, doa semoga Allah beri taufik dan hidayah kepada dirinya dan Am!
Tiba-tiba.

"Dah azan belum?"

Dia mengalihkan pandangan. Am. Bersongkok. Alhamdulillah!

2 comments:

kak Jah said...

saya asyik terfikir pasal entry ini.... asyik terfikir....

Anonymous said...

Jo memang layak digelar sahabat.