Sunyi malam bergema lagi.
Soal hikmah Allah. Berbicara dengan ummi. Betapa hebatnya percaturan Allah s.w.t . Keperluan untuk sabar dan bersangka baik dengan Al-Hakim.
Bas kerosakan absorber mungkin. Melambung hampir ke bumbung. Ya Allah. Batuk. Terhentak belakang. Anak kecil di depan menangis. Bas jenis apakah ini, masih wujud zaman Rancangan Malaysia ke 9. Tanah tempat berkubang itu semakin lama semakin jauh aku tinggalkan. Jauh jasad sahaja.
Tanah tempat berkubang sejuk dan nyaman. Tidak pernah menghampakan insan yang merajuk dengan hawa Malakat yang kontang. Deringan telefon bimbit memecah kebuntuan pada angka jam 12 pagi. Suara di hujung talian bising, serak dengan entah bunyi apa. Namun mesej berjaya sampai di sebelah aku, jelas.
Kepada ummi aku khabarkan, anakmu ini ingin keluar minum air di kedai, bersama kawan-kawan. Kawan-kawan yang biasa. Ummi maklum.
Persoalan di mana itu lontaran biasa, buat kami. Yang peningnya si pemandu sudah tentu. Ke Taman Seri Wang, tegas aku berkeputusan. Situ ada sebuah gerai pakar mee kari kesukaan ummi. Cerita soal kehidupan dan juga masa depan yg belum pasti.
Minta segelas campuran H2o dengan isipadu lebih kurang 250ml dengan hasil camellia sinensis bersama larutan (CH2O)n yang entah berapa sudu si pembancuh itu masukkan. Bersama kawan, kadangkala menghasilkan tawa dan kegembiraan. Terkadang menyorot detik duka. Macam-macam ada. Kerana mereka itu insan awwalin yang mengenali aku. Jatuh bangun. Merekalah. Langsung ke pukul 2 pagi.Lebih. Ada harapan untuk bersubuh gajah kalau pulang sekarang dan tidur sedap atas tilam empuk di rumah kesayangan.
Kereta eksekutif buatan Malaysia itu menongkah lagi. Memecah kesunyian dan kesejukan pagi. Penyambut Modulasi Frekuensi tertala ke 104.4 juta getaran sesaat. Menangkap gelombang sebuah stesen radio yang berkonsepkan Ringan dan Mudah. Semuanya lagu-lagu nostalgia berbahasa Inggeris. Kereta membelok masuk ke dalam perkarangan Kampung Baru. Ada gerai nasi lemak di tepi jalan, digelar Tiong Min kerana berdekatan dengan bangunan pemaju perumahan Tiong Min. Agenda perbincangan diteruskan oleh 4 orang lelaki awal 20-an. Bincang yang entah apa-apa. Di penghujungnya, kami mencapai kata untuk satu agenda yang besar. Sangat besar. Jarum jam meniti ke angka 4 yang pendeknya. Yang panjangnya pula mengunjur ke arah angka 6. Kami berlalu, demi sebuah agenda besar.
Pulang ke rumah untuk mendapatkan bekalan pakaian. Si pemandu keletihan setelah seharian memandu dari Kuala Lumpur. Dengan selambanya dia duduk di kerusi penumpang sebelah. Tanda menyuruh aku memandu pula. Kali pertama aku memandu kereta eksekutif buatan Malaysia itu. Kali pertama. Terus, memasuki West Autobahn. West Autobahn waktu malam sunyi, bisa menggoncangkan keimanan untuk menekan pedal minyak rapat-rapat. Tetapi aku malu-malu kucing, tuan kereta di sebelah. Aku pandu dengan sopan santun, semoga dia rasa memberikan aku mengawal keretanya merupakan satu tindakan yang tepat. Pendingin hawa dimatikan, tingkap dibuka. Kami menyusuri West Autobahn. Gelap. Tenang. Damai. Biarkan angin sejuk pukul 4 pagi menampar muka, lembut. Aku menghala ke arah selatan, Taman Sejati. Sementara tiba waktu untuk agenda besar.
Pulang dari Taman Sejati, kami menyusuri Bandar. Pukul 5.15 pagi kereta dibelokkan ke dalam perkarangan Masjid Sultan Muzaffar Shah. Masjid terbesar di SP dengan reka bentuk yang menjadi tanda tanya, bangunan apakah ini, buat mereka yang memandangnya kali pertama. Itulah agenda besar. Sangat besar. Usai solat Subuh dan mendengar sedikit ta'alim pendek, kami berlalu.
Terus ke Hussein Nasi Kandar. Sarapan pagi dengan Tosei dan teh tarik. Matahari pagi bersama kicauan burung-burung beterbangan menceriakan suasana. Mamak baru menebar roti canai. Kedai kurang sesak. Kebetulan hari Ahad. Hari persekolahan. Sambil tengok pelajar-pelajar berbaju putih dan berseluar hijau makan di situ sebelum ke sekolah. Mengimbau kenangan zaman persekolahan. Zaman datang lewat ke sekolah, dipaksa mengutip daun kering, disuruh mencuci tandas. Kawan aku. Nasib mereka tidak pernah datang lambat waktu aku ditugaskan menjaga di pintu pagar sekolah. Cerita-cerita itu sekarang hanya menjadi bahan senda gurau dan gelak ketawa. Betapa kerinduan zaman dulu mengetuk-ngetuk hati aku. Bertalu-talu. Hampir 5 tahun cerita itu berlalu. Namun aku tidak ingin melupakannya. Biarlah cerita-cerita dulu duduk dalam aku. Biarlah cerita-cerita itu menjadi penghuni setia seorang aku. Kerana cerita-cerita itu antara harta paling berharga yang aku ada. Paling berharga. Kerana cerita-cerita itulah aku berada di sini. Dada memberat teringatkan kisah dulu, mahu saja aku kembali, membetulkan mana yang tersilap, meneruskan mana yang betul, menghargai setiap saat dan ketika, saat sebagai seorang pelajar sekolah. Rindu. Sungguh.
8 pagi aku tiba di rumah. Tidur sekejap sebelum dikejutkan penggera pada pukul 10.30 pagi. Aku berikan laporan semalam kepada ummi.
Keparahan ini membarah. Ya Allah, aku belum cukup tabah!
No comments:
Post a Comment