nGGgggZZgggzzzGG…Ya Allah! Itulah apa yang saya rasa hari ini (semalam). Pening-pening tebuan. Semalaman tidak tidur, menghabiskan usia malam untuk melakukan perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan keuntungan. Langsung hingga ke pukul 10 pagi. Alhamdulillah, pagi itu sempat saya melakukan sedikit aktiviti berfaedah.
Saya seorang lelaki. Tiada perdebatan tentang itu. Seorang lelaki akan tersentuh jiwa dan perasaannya apabila seorang perempuan menangis di hadapannya, baik si ibu, emak, ummi atau kekasih hati. Tetapi apabila seorang lelaki menangis di hadapan lelaki lain?
Tadi (pagi semalam) seorang abang menasihati saya. Peramah. Banyak sungguh nasihatnya. Lama. Tapi isinya mudah. Dia menyuruh saya menjaga amal. Pentingnya istiqamah tahadjud, zikir, membaca Al-Quran dan sebagainya. Pada mula percakapannya spt biasa. Saya hanya mengangguk-anggukkan kepala dan mengikut rentak tarian nasihatnya, sesekali mengeluarkan suara –“ahaa..oo”. Biasalah, apabila orang lebih dewasa bercakap tentu sahaja mereka ingin memberikan nasihat sehabis dan sebaik mungkin kepada orang yang lebih muda. Saya tahu tentang itu. Saya cukup faham dan saya amat menghargainya. Malah saya amat-amat mengharapkan nasihat singgah bertandang kepada saya sekerap mungkin. Lebih-lebih lagi daripada orang yang banyak makan garam, cakap dan pandangan mereka berbeza. Persepsi mereka tentang hakikat kehidupan juga berbeza. Apabila menyentuh soal perjuangan, semangat yang mereka tiup juga berlainan sekali baranya.
Agak lama juga keadaan berlanjutan begitu, tiba-tiba – saya lihat ada takungan jernih di dalam matanya. Makin lama makin merah. Habuk masuk mata? Tidak mungkin. Ahh sudah. Perlukah saya mengambil tisu dan memberikan kepadanya. Buntu.
Sudahnya, saya membiarkan dia meneruskan nasihat tanpa sebarang reaksi balas. Saya tahu takungan air jernih itu bukan akibat mengantuk, bukan kerana habuk atau debu. Bukan. Itu adalah lambang kekuatan iman yang hadir dalam dirinya. Itu juga adalah lambang kerisauan teramat kepada keadaan ummat hari ini. Ummat seperti saya.
Saya tahu bukan senang menghadirkan manik-manik jernih itu. Saya rasa saya lebih mudah mengalirkan air mata apabila melihat hero mati di atas pangkuan heroin pada akhir cerita di dalam sesebuah filem. Saya rasa saya lebih mudah mengalirkan air mata apabila kena marah dengan ayah atau emak. Saya rasa saya lebih mudah mengalirkan air mata jika komputer saya dicuri orang. Tetapi saya tidak pasti adakah saya dapat mengalirkan air mata apabila isu keruntuhan amal-amal Islam dalam diri sendiri dan manusia lain diperkatakan…
No comments:
Post a Comment