Saturday, October 30, 2004

Apa itu Penipuan Revolusi Blog?

Assalamualaikum.

Bukan mudah. Bukan mudah untuk saya meninggalkan laman blog asal. Banyak catatan- suka,duka, pahit, manis, tawar tak cukup gula, masin, perasa ajinomoto dan sebagainya telah saya nukilkan di situ. Beberapa ribu saat juga (rasanya) telah saya habiskan untuk menghias dan mencantikkan blog yang telah saya anggap sebagai anak tiri itu. Siapa tak sayang anak tiri oii.

Namun, saat berganti saat, hari berganti hari, kredit telefon telah beberapa kali saya top-up, perasaan ingin tahu dan geram membuak-buak akhirnya telah membuatkan saya melahirkan keputusan yang nekad. Pada mulanya, saya perasan kehilangan entry 'Jurnal Cintun Sepastik part 1' ..kemudian saya perasan kehilangan entry dimana saya memberi komen terhadap laman web UTP.Semuanya hilang tanpa dapat dikesan. Bukan hilang di bawah bantal atau di celah helaian kamus Dewan yang tebal, tp hilang di bawah jagaan laman web itu. Mulanya saya masih dapat bersabar. Tetapi baru beberapa hari yang lalu, saya perasan seluruh 'archive' blog saya untuk bulan Januari,Februari dan Mac telah hilang tanpa khabar berita. Pertanyaan telah pun saya buat. Namun tiada jawapan baik positif mahupun negatif diberikan. Saya bagai dibiarkan bergantung tak bertali. Malah kebahagian saya berblog juga diragut tanpa belas kasihan..

Secara serius... Jurnal Cintun Sepastik part 1 itu bukanlah karya saya yang biasa. Ianya luar biasa. Biarpun pada pandangan mata mereka atau kalian, cerpen atau cerita atau jurnal atau apa sahaja yang boleh dipanggil itu sebagai sebuah karya biasa yang selalu diketemukan di tepi jalan atau di bakul tong-tong sampah editor majalah. Tidak bagi saya. Tidak sama sekali. Cerpen itu bukan sahaja ditaip secara spontan dan tidak ber'backup', tetapi ianya merupakan...ermm,lupakan sahaja. Saya tidak sanggup lagi kehilangan, (jika ada) karya-karya yang saya anggap luar biasa pada masa-masa akan datang. Biarlah jika ada yang kata masterpiece saya itu junk shit atau apa shj benda tidak berguna, itu hak kalian..

Jika ini berterusan, maka niat saya untuk menceburi dunia blog secara aktif akan terbantut. Biarlah jika selepas ini mereka mengembalikan semula entry saya yang hilang itu. Biarlah. Ketidak-konsistensi mereka itu telah melunturkan kepercayaan saya. Maka dengan itu, saya mencuba beberapa blog provider alternatif lain. Alhamdulillah akhirnya saya di sini, kembali ke tempat asal. Tempat asal? Ya, sebelum saya menggunakan blog provider (yang tidak konsisten itu), mulanya saya menceburi dunia blog di sini. Di tempat inilah. Tetapi hanya memuatkan bahan kandungan teknikal tentang Linux sebagai sumber rujukan peribadi, jadi saya tidak menghebahkannya kepada rakan-rakan, bimbang tiada siapa ingin ambil peduli (jikalau pun mereka faham kandungan itu). Saya tidak tahu sampai bila blogspot dapat menawarkan khidmat percuma dengan baik. Sehingga ke saat itu, sehingga ke waktu itu, insyaAllah saya akan bermukim di sini. Harapnya hari-hari saya selepas ini dapat melihat camar terbang riang di lebuh pantai sambil disaksikan sang mentari yang akan turun melabuhkan cahayanya. Saya harapkan sore itu..disini.

1 comment:

Stridz said...

blog terbuka? wahh..satu bentuk aplikasi baru internet.