Wednesday, October 27, 2004

Ada apa dengan novel?

Assalamualaikum...

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang saya dan anda tidak tahu. Saya telah berpindah kem. Berhijrah ke dunia web log dengan lebih serius (cewahh..kononnya!). InsyaAllah kita akan berkongsi lebih banyak kisah hidup selepas ini. Sekarang, adalah masa untuk...berkongsi cerita tentang novel.

Sekiranya ruang lingkup memori saya masih berpaksi, novel pertama yang mendapat perhatian saya adalah 'Pahlawan Parang Panjang'. Kisah penentangan penduduk sebuah kampung di negeri Johor terhadap pengganas Bintang Tiga. Ringkasnya, novel itu berkisar soal perjuangan.

Kemudian saya membeli novel 'Hari-hari Terakhir Seorang Seniman'. Pak Hassan, seorang panglipulara yang hidup sebelum dan semasa perang dunia ke-2. Baru tiba di pengetahuan saya dahulu panglipulara itu sememangnya mempunyai peranan tersendiri di tengah-tengah masyarakat Melayu. Cetakan pertama buku tersebut adalah pada tahun 1979. Saya memperolehi cetakan tahun 1984 dan dibeli pada tahun 1996, lebih kurang 12 tahun selepas buku itu keluar daripada mesin pencetak. Sekarang, buku itu sudah berusia 20 tahun. Masih elok, tulisannya
tetap jelas untuk dibaca cuma kertas pada isi itu telah putih kekuningan. Itu perkara normal untuk sebuah buku yang agak berumur. Novel ini tidak lari daripada perjuangan hidup seorang panglipulara yang terpaksa menempuh perubahan nilai dan kemajuan material masyarakat. Hasil karya Anwar Ridhwan.


Pada tahun yang sama, saya ditemukan dengan sebuah novel yang padanya saya kira adalah sebuah karya agung (kerana tulisannya cukup memberikan kesan kepada pembaca - saya.) 'Mereka Yang Tertewas' adalah tajuk novel itu. Mulanya digunakan sebagai buku teks rujukan pelajar sastera Tingkatan 6. Sungguh, jika dilihat pada kulitnya, saya tidak sudi hatta meletakkan barang sebelah mata untuk melepaskan pandangan keatasnya. Jangan ambil itu sebagai penghinaan. Itu adalah intiusi seorang budak berusia 12 tahun ketika dan saat itu. Jika tidak kerana Pak Su yang berjaya menjadi 'pengarah kreatif' dalam mengiklankan kelebihan novel tersebut rasanya hingga saat ini saya masih tidak menjejakkan lagi mata ini di dalam helaiannya.

Secara ringkasnya, novel itu adalah kisah hidup seorang pemuda bernama Tapa, meninggalkan kampong halaman kerana cintanya dihalang dan menemukan perjalanan di Madrasah Islamiah Bukit Keledang. Di situ dia tinggal dan belajar ilmu hidup daripada Imam Mat. Plot cerita tidak mati di situ, pembaca akan dibawa berulang kali ke beberapa destinasi berbeza, sejarah hidup Tapa di Padi Setempat-tempat kelahirannya, hingga kepada Bukit Keledang dimana dia mula mengenali hakikat kehidupan sehingga ke Bukit Setugal, medan dakwahnya. Setelah berpuluh tahun meninggalkan kampung halaman, Tapa dikenali sebagai Lebai Pa di Bukit Setugal. Disitu pembaca dibawa pula melayari mehnah dan tribulasi Lebai Pa serta ikhwahnya dalam perjuangan dakwah mereka.

Sebuah buku tidak cukup untuk memuatkan sebuah kisah agung. Maka terbit pula 'Mereka Yang Tertewas 2'. Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya saya menemukan perkhabaran gembira terhadap kelahiran sambungan cerita itu.Kulit mukanya membuka selera saya, seperti kucing yang berpuasa disorongkan ikan bakar dan air asam, untuk membaca. Kali ini saya dapat mengagak fikrah Lebai Pa dengan lebih jelas. Lebai Pa bukan sahaja guru agama, tetapi juga guru silat tertinggi dalam Pencak Seribu Kalimah. Ketangkasannya nyata membuka ketakjuban saya walaupun ia hanya digarapkan dalam bentuk tulisan semata, namun setiap babak yang terbias itu seperti bermain dalam tayangan wayang gambar di panggung minda saya. Penulis novel ini adalah Hasanuddin Md Isa.

Saya dan arwah Mak Lang berkongsi minat yang sama. Mak Lang mempunyai koleksi novel kebanyakannya hasil tulisan Abdul Rahim Awang.Saya lihat trend penulisan Abdul Rahim Awang lebih kepada ala penyiasatan dan tidak terlalu sentimental-melankolik hasilnya. Satu karyanya yang menarik adalah 'Hilangnya Sebuah Generasi'. Tajuknya sendiri sudah menyuratkan apa yang tersirat di sebalik kulit buku itu. Kisah sedih dan kejatuhan sebuah keluarga. Satu persatu ditimpa musibah dan malapetaka yang ditempah sendiri.

Saya menantikan kehadiran novel 1515 karya Faisal Tehrani daripada seorang teman. Katanya dia mempunyai dua buah buku tersebut. 1515 adalah sebuah novel yang memenangi anugerah daripada kumpulan Utusan, tp saya tidak tahu dalam kategori mana. Sekarang sudah ada 1515 kombat, juga daripada penulis yang sama.

Pendek kata (walaupun dah tulis berjela), novel pembacaan saya dahulu adalah bersifat pengajaran dan perjuangan hidup. Kini (entah sejak bila) lambakan novel cinta romantika jiwangs karatzz membanjiri rak-rak buku di pasaran. Keadaan ini menghadirkan rasa tidak selesa buat saya untuk singgah walau utk sekilas pandang melihat novel-novel terbaru, bimbang dicop mat jiwang ( walaupun sememangnya saya jiwang juga apabila kena masanya).Sungguh kisah cinta juga adalah sebuah kisah perjuangan. Lebih-lebih lagi penulis kotemporari pandai mengolah cerita cinta daripada pelbagai sudut dan rupa, menjadikan kekomplekstian cerita itu sebuah karya yang menarik. Tetapi kekompleksitian cerita cinta yang diolah itu terkadang menghadirkan satu bentuk serangan saraf yang bisa menggoyah dan melemahkan jiwa-jiwa pemuda-pemudi. Kerana sekarang adalah masanya pemuda-pemudi Islam mengasah azam dan tekad, menajamkan minda dan kata dalam menempuh perjuangan dalam erti kata sebenar, bukan terus hanyut dibuai karya yang jiwang lagi menjiwangkan.

Antara sedar atau tidak, saya juga telah termasuk dalam mangsa serangan itu. Beberapa novel jiwang telah berjaya menempatkan diri di dalam rak buku saya. Itu tidak saya nafikan. Baru-baru ini demi masa yang terluang, saya membeli sebuah novel cinta. Bukan kerana penulis mahupun isi di dalamnya, tetapi kerana kulit muka yang menarik. Di awal pembacaan, saya wakilkan diri kepada seorang watak untuk mengahwini gadis (watak utama) itu. Namun tidak disangka, rupanya wakil saya itu hanya mengisi ruang sebagai seorang gila di akhir cerita. Terasa kejamnya kehidupan. Namun setelah itu, rasa lebih kejam diri ini hingga menjustifikasikan kehidupan ini sebagai kejam kerana - kita hanya bertaraf hamba kepada Yang Maha Mengetahui, Dia lebih berhak menentukan dan lebih tahu apa yang tersirat dan yang tersurat.

5 comments:

Anonymous said...

stridz?? novel.. novel... x baca lagi ker 1515?? hhuhuhu.... bacalah.. buat pedoman sekali sekala di perjuangan!! 1511(kombat) juga... faisal tehrani x pernah menghampakan!! pernah baca cinta hari2 rusuhan?? kisah benar zaman abah saya di kampus.... baca aaa.... teruskan pembacaan anda!!
-AuRuM-

Stridz said...

insyaAllah. Dalam wish list saya. Ermm mcm menarik tajuk tu... di mana boleh saya beli buku tu? rasanya bukan di kedai buku biasa kan?

Anonymous said...

ade kat MPH kott...sy pun beli dolu kat MPH.... novel creative... tp, mcm dah kurang kat pasaran...
-AuRuM-

Anonymous said...

suke cerpen jugak ker?? emmm.. kat blog saya ade link ke blog org lain.. ade cerpen sgt best di situ... silalah.... ;)
-AuRuM-
(konfem.. x leh amik machine sem depan.. kene tunggu sem satu jugak)

Anonymous said...

saya mencari-cari dimana saya boleh membeli novel "mereka yang tertewas bahagian 2" oleh Hassanuddin Md Isa. sila hubungi saya di alamafia@yahoo.com