Sunday, September 05, 2010

Pertama dan terakhir (bahagian 3)

"Macam mana ayah?" Ahmad bersuara setelah dia mengambil tempat sebelah aku di atas pangkin bawah pokok rambutan di tepi sawah. Aisyah yang sedari tadi memang bersama aku petang itu memerhati mengharap jawapan. Aku melemparkan pandangan ke sawah padi yang terbentang tidak berapa luas , namun cukup untuk menghambat hingga ke kaki Gunung Jerai. Terasa ada ketenangan di situ. Angin yang membuai mesra, langit sore bercahaya redup, kuning jingga bercampur biru.

Keluhan dan nafas berat tersekat di dada. Aku cuba menimbang tara. Niat Ahmad dan Aisyah itu jika difikirkan logik memang susah untuk dikatakan tidak. Tetapi bila bicara soal hati...logik bukan isu yang perlu diperjelaskan.Hati punya keputusan sendiri.

“Dah 10 tahun ayah...” Aishah, sambil menuangkan teh o panas ke dalam cawan. Berasap. Beraroma. “Ayah perlu teruskan kehidupan...macam orang lain”.

“Ayah memang sedang meneruskan kehidupan.” Aku jawab sambil tersenyum. Nak ketawa pun ada. Tapi nanti anak-anak ingat aku tak serius pulak. “Lagipun kenapa baru sekarang timbul isu ni? Selama ni ayah hidup ok je. Gagah dan macho seperti sediakala.” Aku cuba berseloroh.

"Sakit demam...makan pakai siapa nak jaga?" Aisyah bertanya lembut. Persis gemersik suara emaknya juga. Mungkin dia risau. Mungkin mereka risau.

“ Hish. Benda tu yang kamu risaukan? Tahu lah ayah jaga diri...." Sambil melihat kilas anak betuk di tepi permatang, mulut aku seperti ada semua jawapan untuk menolak sebuah harapan. Harapan agar aku tidak kesunyian.

"Hati ayah tak mampu nak dibahagi-bahagi. Apa yang ayah berikan kepada emak kamu, biarlah tidak terusik sampai bila-bila." Aku meluahkan apa yang tersimpan sekian lama.

Mereka tersenyum. Mungkin tersenyum mendengar luahan hati aku. Luahan cinta si ayah kepada ibu mereka. Mungkin sebahagian perasaan mereka gembira, namun jauh di sudut hati, aku tahu, mereka hampa.

“Ayah banyak sangat tengok cerita Hindustan ni” Aisyah tersenyum.

"Kalau ayah dah cakap macam tu...kami tak boleh terus memaksa. Tetapi ayah cuba lah fikir-fikirkan. Mana tahu tiba-tiba terbuka hati." Ahmad. Aku melihat wajah anak lelaki aku yang seorang itu. Lalu aku mengalih pandang melihat Aisyah, anak perempuan yang satu. Mereka saling tidak tumpah seperti wajah dia.

Aku bersyukur kerana anak-anak faham apa yang aku rasa.

“Dangai ni kamu beli di kedai Pak Tam, Mad? ”

“Ha'aa. Pak Tam kirim salam, ayah. Dia ingatkan kita datang ke kenduri doa selamat Ain esok malam. Ermm. dengar cerita Ain nak menikah sekali sebelum berangkat ke US ya?”

“Ain dah nak kawin?” Aisyah menyampuk. “Rasa macam baru semalam tengok dia menangis nak ikut Ayob main perang-perang”

“ Macam tu lah khabarnya. Maksud hadith, Jika seseorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu redha agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia .Sekiranya tidak, maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.” Aku menjamah sikit dangai tu. Memang tip top dangai Pak Tam. Legendary orang kata.

“Lagipun benda baik, buat apa ditangguhkan.” Aku lihat Ahmad dan Aisyah angguk tanda setuju. “Angguk je tak luak dangai ni.”

Dangai dan teh o panas ketika itu lebih utama dan menyelerakan daripada cerita keseorangan dan kesepian.



Waktu Maghrib bakal menyusul tidak berapa lama lagi. Tika senja bertamu memang mengundang rasa rindu. Rindu mereka yang pergi sebelum aku. Rindu dia terutamanya. Ahmad dan Aisyah sudah pulang ke ibu kota, 2 hari lepas.

Aku selak mushaf Al-Quran. Membaca Al-Quran dengan melihat mushaf lebih baik daripada cuma membaca dari hafalan sendiri, kerana melihat mushaf itu sudah termasuk ibadah. Begitulah pesan ustaz-ustaz dengan memetik tulisan Imam Nawawi dalam At-Thibyan fi Adab Hamlah al-Quran,

Usai surah Ar-Rahman, aku rasa ada sedikit kekuatan meresap perlahan-lahan, masuk ke dalam hati. Jalur-jalur semangat sedikit demi sedikit membina kekuatan, membuang keresahan. Aku tutup mushaf dan letak di atas meja tulis, supaya senang dicapai untuk dibaca pada kebanyakan masa.

Aku merenung terus ke luar jendela dan menghela nafas panjang. Langit senja. Ada sebutir bintang bersinar di ufuk timur. Terang, seperti ada tanda kegembiraan pada alam. Seperti ada tanda keterujaan. Sayup-sayup terdengar suara Lebai Ibrahim memanggil menuju kejayaan. Perlahan aku tutup komputer riba yang terpasang sedia kala.

___________________________________________________________


"Bismillahirrohmaanirrohim. Subhanallazi sakkhorolana haaza wama kunnalahu mukrinin, wainna ila robbina lamun qolibun"

Berbaju melayu hijau muda, berkain pelikat cop gajah mada dan songkok senget di kepala. Aku mengayuh basikal dengan berhati-hati dan macho persis jejaka idaman Malaya. Usai solat Isyak di masjid. Di belakang pelantar basikal tua, tiada isteri tercinta. Tiada bidadari berwajah serupa...cuma yang ada hanya kenangan bersama dia.

"Sekarang saya bawak basikal tak gelong-gelong lagi..." .Aku senyum seorang, sambil mengayuh basikal tua , sambil sesekali mengintai bintang terang.

“ Dah tua.Malu lah kat cucu , kalau bawak basikal pun gelong lagi” Dia. Membonceng di belakang.

"Ahmad dan Aisyah mahu jodohkan saya dengan Teja" Aku mengadu. Lampu suluh yang semakin kehabisan bateri nampak malap, tidak banyak membantu. Penuh berhati-hati aku mengawal basikal jangan terbawa ke tepi.

“Teja.. yang kata awak macam hero Mission Impossible tu?”

“Teja itulah”

"Eloklah, Awak pun dah lama menduda. Teja pun dah lama menjanda. Sekurang-kurangnya masing-masing ada orang jaga."

"Awak tak cemburu?"

"Tak lah"

"Sikit pun tak?"

“Ada jugak sikit-sikit”

“Dahtu...”

“Saya risaukan awak. Takde teman.”

“Being lonely is not the reason to fall in love.” Aku beralasan.

“Kalau ada Teja , boleh dia sama-sama naik basikal dengan awak ke masjid, dengar kuliah ke, makan dangai di tepi bendang ke…”

"Masturah..."

"Ye?"

" Awak adalah yang pertama...dan terakhir...untuk saya.”


___________________________________________________________


“Atuk cakap dengan sapa?” Ammar. 5 tahun. Aku menyorong basikal tua ke tepi tangga.

“Kenapa Ammar tak tidur lagi?”

“Tunggu atuk balik.”

“Ammar dah solat isyak?”

“Dah. Ammar solat subuh sekali”

“Eh, kenapa solat subuh, kan belum masuk waktu lagi” Aku hampir tertawa.

“Sebab Ammar rasa tanak bangun la pagi esok. Mengantuk”

“Ooo…kalau macam tu, atuk kena pegi breakfast sorang lah.” Aku memancing. Aku tahu dia suka nasi lemak di depan masjid tu.

“Ammar nak ikut”

“Ammar tak mengantuk?”

“Malam ni Ammar tidur awal. Atuk kejut Ammar tau esok pagi" Bersungguh dia pesan.

Aku tersenyum.



(credit roll. Background music – Better Together by Jack Johnson)

14 comments:

kak Jah said...

selamat bermuhasabah menjelang Aidilfitri....

Afida Anuar said...

Akhirnya.... Aben, terima kasih... ingatkan tak nak sambung dah:)

PS: Selamat hari raya yg bakal menjelma..maaf zahir batin.

kak Jah said...

tambahan :

Dangai tu ape dia ek...

Anonymous said...

isz : aben , MASTURAH ?!? nice one :)

Stridz said...

tropical jingga: http://www.foodmalaysia.net/recipe_collections/dangai

afida: kenapa sampai terima kasih tu. selamat hari raya. maaf kalau ada salah apa apa.

Isz: Isz?

Afida Anuar said...

terima kasih la sebab aben sudi sambung cerita tu dan publish kat sini. Ingatkan tak tahu kesudahan dah...hehe..

maaf juga kalau saya ada tersilap tulis dan bicara...

minal a'idin wal fa'izin

Anonymous said...

Isz your brother lar . Who else :))

Komputer Bekas Murah said...

bagus...............

Anonymous said...

ni kisah benar ke? excited baca ni :)

Stridz said...

Afida: mestilah sudi tulis di blog sendiri :)

Isz: sejak bila ada 'z'? Nak jd cool mcm nama abg jugak ka? :p

Rapunzel: Hmm...agak2 ni cerita benar ke cerita tipu2?

Anonymous said...

nmpak macam benar... betol ke tipu? hehehe

Stridz said...

Rapunzel: benar atau tidak sesebuah cerita itu bergantung kpd sejauh mana kita mahukannya menjadi realiti atau sejauh mana kita mahu mendustakannya.

cewahh...bajet mcm penulis terkenal jwb soalan wartawan. haha

Anonymous said...

lepas ni boleh la tulis buku/novel.

Anonymous said...

Isz : Abang. Terima kasih.