Monday, May 24, 2010

Pertama dan terakhir (Bahagian 1)

"Bismillahirrahmaanirrahim. Subhanallazi sakkhorolana haaza wama kunnalahu mukrinin, wainna ila robbina lamun qolibun"

Berbaju melayu hijau muda, berkain pelikat cop gajah mada dan songkok senget di kepala. Aku mengayuh basikal dengan berhati-hati dan macho persis jejaka idaman Malaya. Di belakang pelantar basikal tua, ada isteri tercinta menjadi pembonceng setia. Kami baru pulang dari masjid, ada kuliah Ustaz Mat tadi. Ahmad dan Aisyah ditinggalkan sekejap bersama mak tok mereka. Malam ni mak dan ayah mahu berdua, menadah ilmu sambil beromantika.

"Apasal gelong-gelong ni. Awak tau ke bawak basikal?" Isteri memberi semangat dengan sangat bagus.

"Awak yg tak duduk betul. Torchlight tu, cuba suluh elok-elok" Si suami, jarang mahu mengaku kelemahan sendiri. Biasalah.

"Eh salahkan saya.."

"Jangan tak tahu, saya dulu bawak basikal sambil pejam mata lepas tangan." Saja aku nak memberi justifikasi bahawasanya aku tahu menunggang basikal dengan baik dan sesungguhnya, asbab dia duduk dengan geometri tidak selari lah menyebabkan basikal terhoyong sana sini.

"Ye ke?"

"Ha'aa...sebab tu terbabas masuk dalam longkang tepi rumah tok su, time kenduri pulak tu"

"Hehehe. Mesti ramai awek terpikat"

" Teja anak makcik Zainab cakap saya jatuh mcm hero Mission Impossible"

" Awek lama ke?"

"Kalau awak tak masuk meminang saya dulu, saya kawin dengan dia lah..... adoi!! awak... jatuh nanti." Aku mengawal basikal daripada terbabas ke dalam sawah.

"Cakap lagi macam tu"

Dalam keindahan malam, aku menikmati segarnya udara desa. Bunyi unggas malam bergema seluruh alam . Bunyi angin memukul lembut pokok padi yang berisi. Mana nak cari suasana macam ni di Kuala Lumpur. Aku meneruskan kayuhan perlahan.

"Tadi ustaz kata, ada 3 benda kalau beri kemudaratan kepada kita, kena tukar. Tempat tinggal. Kenderaan. Isteri." Aku mengulangkaji apa yang kami pelajari tadi.

"Saya ni beri kemudaratan tak kat awak?" Saja lah tu tanya soalan menguji. Aduhaii isteriku...

"Ada jugak sikit-sikit"

"Apa yg mudarat tu?"

"Bila saya nak tengok bola, awk nak tengok CSI"

"Ade ke itu yg mudaratnya...beli je tv besar satu lagi, tengok lah bola sampai kenyang" Dia mengomel. Senyum je lah, nak buat apa lagi.

Malam itu langit terang, penuh dengan bintang. Kami menaiki basikal melalui tepi bendang. Beberapa lama masing-masing diam seribu bahasa melayan perasaan sendiri. Terdengar geseran besi lama basikal tua yang mungkin menanti masa. Sehingga ke hari ini, basikal ini sudah banyak berjasa. Berjasa kepada kami sekeluarga. Aku masih ingat, setiap pagi selepas balik dari solat subuh, atuk akan bawa aku minum teh di warung Pak Njang Desa di hujung tali air dekat dengan simpang. Dengan basikal inilah. Dengan basikal ini juga atuk mengerah kudrat menghantar aku ke hospital di pekan apabila aku mengalami demam panas. Kesian atuk penat kayuh, bawak basikal seperti kena kejar hantu. Mungkin kasih sayang itu sungguh lebih daripada abstrak dan mustahil untuk diluahkan dengan kata-kata.

Sekarang, di belakang aku, ada kasih sayang juga. Kasih sayang ini paling ganjil pernah aku rasa. Kerana setiap pagi, apabila aku bangun dari tidur dan lihat wajahnya, terasa seperti segala masalah semalam hilang begitu saja. Melihatkan senyuman paginya sudah cukup memberikan aku semangat sebelum pergi kerja. Dan...apabila aku bangun lebih awal, sebelum kejutkan dia untuk bangun solat, aku lihat garis-garis halus di wajahnya, aku lihat setiap lekukan dan setiap daerah yang terukir itu membuatkan aku hanya mampu hilang dalam lamunan sendiri. Sering kali juga aku tertanya. Adakah aku bermimpi?

"Awak nak tahu satu cerita tak?" Aku memecah kesunyian setelah daerah sepi itu lama terbangun.

"Hmmm?"

"10 tahun lepas saya pernah mimpi bidadari...bila saya terjaga je, bidadari tu hilang.Tak sangka pulak bidadari tu bonceng basikal saya sekarang"

"Ye la tu..." Walaupun dia berada di belakang, tapi aku tahu dia senyum.

Bila sampai rumah, dia bancuh coklat panas paling sedap pernah aku rasa. Aku yakin sedapnya air tu berkadar langsung dengan rasa cinta si pembancuhnya.

Cerita tadi, bukan saja aku reka. Cerita benar yang sudah lama menjadi rahsia. Rahsia wajah bidadari yang aku mimpi memang seperti wajah dia. Atau adakah mereka orang yang sama? Ahh...rahsia jodoh, itu urusan Dia.

10 comments:

El-Zaffril said...

Eh... bile kamu nak kahwin ni.. huhuhu

Afida Anuar said...

Impressed!!!...tak sabar tunggu part 2 dan seterusnya...

Rasa ada chance nak lawan cintun sepastik..eh ke apa tajuknya?;)

tropical_jingga said...

yo bro~~!!!

keep on writing.... ;)

Mya Sakura said...

bring it on! ;)

aki_koba said...
This comment has been removed by the author.
aki_koba said...

such words can only come from u my fren :D

tropical_jingga said...

(sambung sambung sambung)

Stridz said...

abg zafril: haa...soalan yg bagus tu

afida: sabar itu sebahagian daripada iman...

tropical jingga: yo! insyaAllah

sakura: baiklah!

Aki: eh, ayat biasa saja tu. btw, aku anggap sebagai pujian. thanks!

Jard The Great said...

pandai ang bercerita.. cpt sambung!

zmah said...

Tahniah masih menulis hingga kini...jom ikut baca disini:http://zmah-ceritaku.blogspot.com/ - 12 hours ago - Cached