Wednesday, December 20, 2006

Hujan oo hujan

Sekiranya ada hari-hari yang tidak ingin saya lupa buat kenangan sepanjang bergelar pelajar di sini, hari itu adalah semalam.

Melaka jarang-jarang hujan. Apatah lagi hujan lebat. Saya selalu membandingkan Melaka yang kering kontang dengan Taiping yang sejuk dan amai damai itu. Kalau pun hujan, hanya mengacah. Hujan sikit-sikit seperti mahu tidak mahu. Kali ini, 'Melaka betul punya hujan'. Melebihi 24 jam hujan turun tanpa henti. Dari awal pagi hingga tengah hari, membawa ke petang, terus ke malam, langsung ke pagi. Bukan sahaja menyebabkan kemalasan kepada pelajar-pelajar di Bukit Beruang yang kesejukan bahkan McDonalds delivery pun terpaksa menghentikan penghantaran.

Hujan-hujan begini rasanya lebih banyak yang tidur daripada berjaga menggunakan internet. Maka kelajuan internet berganda-ganda jadinya. Tetapi apa guna internet yang laju-laju waktu hujan-hujan ni, melelapkan mata lebih enak pada perkiraan saya. Tambahan pula cakera keras komputer saya yang kecik cinonet membataskan aktiviti muat turun yang terlampau seperti kawan-kawan lain.

Sehingga entry ini ditulis, hujan masih berlarutan tidak henti. Saya menulis entry ini sambil terdengar bunyi rintik hujan yang masih tidak kunjung padam. Pakcik yang saya jumpa di surau pagi tadi hanya mampu tersenyum menggelengkan kepala. Tidak pernah terjadi seperti ini. Bersyukurlah. Pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Pasti ada rahmat di sebalik tabir yang mungkin belum tersingkap lalu membutakan kefahaman saya. Namun ada. Pasti ada.

Monday, December 18, 2006

Daripada Ustaz Amin kepada walid

"Kamu nak tengok terus hari ni?"

"Err...hajat saya datang nak berkenalan dulu dengan ustaz sebenarnya" Amirul. Senyum.

"Apa salahnya. Alang-alang dah datang jauh. Marilah." Ustaz Amin. Ramah. Mengajak. Persis mesra seorang bapa.

Amirul berdiri di hadapan sebuah tabir. Di sebelahnya Ustaz Amin. Dada Amirul serba tak kena. Tenang pun ada. Gelabah pun ada. Kencang dalam diam. Dia berdehem perlahan dan menelan air liur. Bismillah. Bisik hatinya.

Ustaz Amin menarik tabir. Tabir terbuka. Amirul kaget. Di sebelah sana yang sebentar tadi ditutup tabir ada Ainul Mardhiah. Cantik. Bersih jernih wajahnya. Amirul segera tertunduk, tidak mampu memandang lebih lama. Dia menoleh ke arah Ustaz Amin. Bagaikan mengerti, Ustaz Amin menutup tabir dengan perlahan.

"Istikarah dulu ya." Ustaz Amin. Menghantar Amirul di pintu kereta.

"InsyaAllah." Amirul menjawab. Senyum. Sambil menyambut erat salam.


2 minggu selepas itu

"Assalamu'alaikum. Amirul?"

"Wa'alaikumussalam. Ya saya. Ustaz apa khabar?"

"Alhamdulillah...kamu baik ya? Tidak demam-demam?" Ustaz Amin. Ketawa. Mengusik.

"Hehe...alhamdulillah saya baik-baik saja."

"Ni, Amirul, Bagaimana dengan istikarah kamu?"

“Apa yang saya dapat dan apa yang saya faham juga apa yang saya yakin…baik”

"Kami pun begitu"

Amirul bersyukur. Dalam hati. Nanti Panggilan Ustaz Amin perlu ditukar. Walid.