Friday, November 26, 2010

Puisi Penelope

Kereta peninggalan mama itu membelah Lebuh Raya Utara Selatan di waktu petang menghala ke Alor Setar. Langit yang seperti mahu hujan tetapi pada masa yang sama masih ada cebisan mentari sungguh menawan pada aku. Sawah padi di sebelah sini lebih hijau dan punya jiwa lebih besar daripada yang ada di sebelah selatan Kedah. Padi di sini lebih mahu subur dan nampak benar untuk jadi padi yang menjadi.

Langit petang yang cantik. Sawah padi yang punya jiwa. Gabungan itu mengasyikkan. Pak Long ajak balik kampung. Aku bagai orang mengantuk disorong bantal. Lagu-lagu pakcik Paul Mauriat berturutan di dalam stereo kereta. Perlahan. Agar tidak mengganggu kami berempat berbicara.

"Apa Aben rasa, dengar lagu-lagu macam ni?" Sepupu aku bertanya. Perihal light music orchestra yang dipimpin pakcik Paul itu. Aku rasa seperti seisi kereta diam sementara menanti jawapan aku. Sambil terus memberi tumpuan memandu aku memikirkan jawapan yang sesuai. Selalunya, jawapan aku tidak menjawab soalan.

Aku pasang salah sebuah muzik yang bertajuk Penelope . Aku menyuruh Pak Long, Mak Long dan sepupu aku dengar dengan teliti muzik itu, hayati dan usai nanti aku akan jawab soalan tadi.

"Ok, sila beri penerangan" Pak Long. Lebih kurang 4 minit kemudian. Setelah muzik itu habis dimainkan.

Lantas aku memulakan penceritaan. Berdasarkan apa yang aku baca. Kalau orang yang tulis itu tipu maka tertipulah aku, pak long, mak long, sepupu aku dan korang sekali.

Muzik Penelope ini adalah sebuah gubahan yang diadaptasikan daripada sebuah puisi bertajuk sama, kononnya berdasarkan cerita benar.

Penelope ialah seorang wanita yang menanti kepulangan kekasihnya di stesen keretapi. Saban hari dia menunggu di stesen itu, setiap keretapi yang singgah, dia harap kekasihnya ada namun kekasih yang berjanji untuk pulang masih belum pulang.Penelope masih terus menunggu. Tetap menunggu. Keadaan itu berlarutan sekian lama.

Pada suatu hari, kekasihnya yang ditunggu-tunggu itu pulang dan berkata

"Penelope, aku lah kekasihmu. Aku sudah pulang"

Tetapi Penelope membalas

"Tidak. Kamu bukan kekasihku"

Dan Penelope terus menunggu.



"Setiap muzik seperti ini ada cerita yang tersendiri" Aku mengakhiri jawapan. Jawapan yang seperti biasa. Tidak menjawab soalan.


Sela waktu yang lain.


"Boleh tak kita cintakan orang 100%?" Harith. Aku fikir berapa lama dia simpan soalan macam ni utk ditanya. Soal cinta lagi. Itulah, di zaman remaja ni, topik cinta dan masalah hati mungkin sesuatu yang nampak asing dan menggamit. Selalu juga cinta dikaitkan dengan fitrah yang tidak mungkin ditolak. Ewahh, bila topik cinta je, fitrah. Tapi fitrah kepada agama itu, tak pulak ghairah mahu dibincangkan ye :D

Aku diam. Mencari jawapan sambil tersenyum. Dalam kegelapan malam, aku harap dia tak perasan. Aku berikan isyarat untuk memasuki simpang ke sebelah kiri. Sedap betul bawa kereta yang baru diservis ni. Sawah padi di kiri kanan jalan sepi tanpa bintang di langit.

"Boleh. Hati perlu tempat bergantung. Dia tak boleh berdiri dengan sendiri. Samada cintakan Allah atau cintakan makhluk. Hati perlu kepada sesuatu." Aku. Teringat isi ta'alim selepas Asar beberapa lama dulu.

"Kalau hati cinta makhluk, itulah dikatakan cinta buta. Sanggup buat apa saja, tolak rakan dan keluarga dan rasa orang lain tidak faham apa-apa. Kitalah saja yang memahami cinta" Aku buat rumusan .

"Tetapi bila hati cinta Allah, kita akan mencintai benda lain seadanya. Kita akan cinta dengan cara yang Allah suka. Cinta tidak pernah buta" Semoga dia faham.

Walaupun jawapan aku tidak menjawab soalan dan aku memang bukan peminat filem yang berakhir secara ambiguous, namun aku harap entri ini dapat difahami dengan mudah. Semoga kamu dapat mengaitkan puisi Penelope dan soalan Harith berkaitan cinta.

Kerana pada akhirnya, untuk apakah kita hidup dan di dalam hidup kita bercinta? Bukankah hanya untuk sukakan Allah?