"Awak, ikut saya kejap" Aku berjalan keluar menuju pintu. Tak pasti samada itu arahan atau permintaan. Ada rasa marah yang hampir tidak dapat dibendung. Dia berada di ruang tamu, sedang melipat kain yang baru kering dari ampaian, termanggu-manggu melihat aku begitu. Aku berhenti di muka pintu dan melihat dia dengan riak muka tanpa ceria.
"Owhh.Ok. Tunggu jap saya tukar baju" Terus dia masuk ke dalam bilik. Mungkin dia tahu, kalau aku serius begitu, ada sesuatu yang tidak kena.
Petang Ahad yang sepatutnya ada sedikit kebahagiaan sebelum esok, bertukar menjadi hari yang jelik. Thesis yang aku sediakan sejak tahun lepas, siang malam, kononnya bakal dibentangkan di ISCA San Jose, California bulan depan, hilang sekelip mata.
Hilang hak untuk dibentangkan akibat kesalahan teknikal dlm isu penerbitan. Minit-minit terakhir pula tu. Emel pemberitahuan yang diterima sebentar tadi dari pihak pengurusan tempat kerja menggelapkan pandangan aku buat seketika. Esok pagi, ketika mesyuarat jabatan, siaplah! Hati aku menggerutu.
Kereta dipandu ke Pantai Merdeka. Langit petang yang cantik bersama awan kepul-kepul putih dan kawanan burung terbang atas petak-petak sawah di kiri kanan jalan gagal menarik perhatian.Muzik Perancis yang tenang, Chopin Nocturne in E Flat major Op. 9 No. 2 berkumandang dalam kereta. Namun masih belum mampu mengurangkan kecelaruan yang berterusan.
"Please bear with me for a while". Aku kata perlahan, sambil memegang tangannya dan terus memandu. Sepanjang perjalanan aku diam tanpa sepatah kata.
Rasa marah yang belum hilang sejak tadi berselang-seli dengan muzik Nocturne yang aman damai. Sungguh memutarkan jiwa. Pedal minyak ditekan lebih rapat. Tanpa sedar kereta bergerak dengan laju. Terlebih laju.
"Encik Idzwan...!" Dia panggil aku dengan nama, kalau ada sesuatu tidak kena. Jelas sekali sesuatu tidak kena itu aku.
Aku tersedar dari lamunan dan memperlahankan kereta.
"Astaghfirullahal'azim."
Pokok Rhu sebesar pemeluk berbaris di sepanjang pantai. Menyambut pengunjung yang hadir dengan pelbagai rupa dan rasa. Kami duduk di atas salah satu kerusi batu yang tersedia. Aku masih belum mampu hatta untuk senyum. Dia pun tidak bertanya apa yang berlaku. Aku tidak tahu kenapa aku harus begitu. Kenapa aku harus secara paksa mengajaknya untuk ikut tanpa berbuat apa-apa atau berbicara apa-apa. Adakah aku suami yang gila? Mungkin. Nasib lah dia kawin dengan orang gila. Cuma aku hanya perlu dia di sisi untuk kembali rasa bahagia. Kembali rasa ada.
Ombak surut laut memukul pantai dengan perlahan. Ada ketam-ketam kecil melata di atas pasir. Kalau ketam-ketam itu ketam lanjut usia mungkin mereka rasa beza dulu dan sekarang berjalan atas pasir yang lebih halus dan lebih putih. Pasir asal di Pantai Merdeka telah hilang dihakis ombak lebih satu dekad lalu. Pasir yang ada sekarang adalah pasir lombong yang ditambak. Cantik tetapi tidak asli.
Sekumpulan budak-budak muda bermotorsikal berkumpul di hujung sana, bersembang. Agaknya pemuda dari kampung sekitar. Tidak ramai pengunjung hari itu. Hanya 2-3 keluarga duduk berkelah di antara teduhan pokok rhu. Lagipun hari Ahad, di negeri Kedah bukan cuti hujung minggu. Mungkin antara mereka juga ada seperti aku, mahu mencari ketenangan di tepi laut yang tidak berapa biru.
Aku tekun memerhatikan langit yang bersambung dengan laut di hujung pandangan. Cuba untuk mewaraskan fikiran yang berkecamuk. Cuba untuk memujuk jiwa yang kecewa. Dia masih ada di sebelah, menanti penuh setia sang suami yang gila. Terima kasih kerana ada. Ucap aku dalam hati. Tanpa melihatnya. Biarpun kamu tidak tahu apa-apa. Tidak mengapa. Terima kasih kerana ada.
"Ada orang pernah kata kepada saya..." Tiba-tiba dia bersuara. Aku mengalih pandangan melihat dia. Tudung ungu gelap yang dikenakan pada petang itu memang sesuai dengannya.
" Sekiranya setiap perkara itu kita buat semata-mata untuk mendapat redha Allah...berjaya atau gagal, kita tidak akan pernah rasa letih apatah lagi kecewa. "
“Awak setuju?”
Kata-katanya menusuk tepat ke hati aku yang paling dalam. Nafas yang sarat dengan penyesalan dilepaskan perlahan. Aku diam mengiyakan. Masakan aku tidak bersetuju, itu kata-kata aku.
Dalam hati aku bersyukur dikurniakan isteri yang mampu mengembalikan kewarasan. Mampu mewajarkan persoalan bahawa perbuatan aku untuk apa. Mahu dapat redha Allah atau mahu cari sanjungan manusia. Aku bersyukur punya isteri yang mampu mengembalikan rasa kehambaan kepada si suami yang lupa bahawa dia sentiasa layak untuk diuji. Suami yang kadang-kadang bengong lebih daripada unta. Unta pun sedar dia hamba. Sudahlah hati menyimpang, bukannya mahu ambil wudhu dan menyendiri mengadap Dia, bawak kereta laju-laju pasang muzik pula.
Senyum kembali hadir.Petang kembali dirasakan indah.
“Nak jeruk ?” Aku bertanya. Kebetulan ada beberapa gerai menjual makanan ringan berhampiran.
“ Nak tengok kalau ada buah betik. Jom.”
“ Sejak bila pilih buah segar instead of jeruk masam yang menggiurkan? ” Aku cuba memancing,meraih tangannya sambil bangun.
“Sejak doktor bagitau saya tengah hari tadi, ada something dlm ni” Dia tunjuk perut.
Aku kaget. Kening aku berkerut. Ya Allah, apakah lagi yang menimpa. Ada benda?
“I'm pregnant. 2 months” Dia senyum. Masa terhenti seketika. Telinga aku hanya dapat menangkap bunyi ombak dan desir angin yang seperti ada tidak ada. Jantung berdegup lebih daripada biasa. Dia ketawa kecil melihat aku dengan mulut suku terbuka, bersama nafas tersangkut perlahan di dada.
“Kenapa awk tak bagitau awal?”
“Saya nak bagitau malam ni. Nampak awk sibuk dalam bilik bacaan tadi”
Maha suci Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Terpuji! Rupanya ada berita yang jauh lebih beerti, jauh lebih gembira menanti. Serta merta aku duduk, sujud syukur, buat berita paling gembira di dunia ketika ini.Kalau ikut hati, mahu saja aku borong semua jenis buah yang ada di gerai tu dengan gerai-gerai sekali dan jerit kuat-kuat biar satu dunia tahu.
Aku bakal jadi seorang ayah!
_____________________________________
“Kalau lelaki, saya nak letak nama Ahmad. Kalau perempuan, Aisyah. Ok tak?” Dia.
“Hurmm...Ahmad.Aisyah. Saya suka nama itu sejak dulu. Ringkas dan sangat bermakna.” Aku. Tersenyum.